Diam adalah pilihan terbaik!

Benar dalam Islam menggalakkan kita lebih banyak berdiam diri daripada berkata-kata. Kerana apa? Jawapannya mudah kerana dikhuatiri akan lebih banyak fitnah yang timbul berbanding manfaatnya. Akan tetapi bagaimana pula dengan diam yang disalahertikan sebagai suatu perbuatan mengalah, tidak nampak proaktif yang kebiasaan dilihat sebagai lambang ciri orang yang berjaya?

Dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Barang siapa beriman kepada Allah dan Hari Akhir, hendaklah ia berkata baik atau diam...” (HR Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis ini ternyata jelas memperlihatkan akan keperluan manusia menjaga lisannya. Ini kerana diam atau orang yang menjaga pertuturannya adalah termasuk dalam etika kebaikan yang sangat diutamakan di dalam Islam, selain meninggalkan perkara-perkara yang tidak bermanfaat, menahan diri daripada marah dan juga menjaga hubungan silaturrahim sesama saudara seislamnya.

Oleh sebab itu, Imam Syafie menurut sudut pandangannya menerangkan bahawa apabila seseorang itu hendak berbicara, maka hendaklah berfikir terlebih dahulu. Jika jelas bahawa kata-katanya itu akan membawa kemaslahatan, maka berbicaralah. Namun, jika sebaliknya, maka eloklah berdiam diri.

Namun, apakah itu diam?  Diam ini membawa kepada penafsiran yang berbeza yang mana diam itu boleh menunjukkan kebodohan seseorang dan diam itu  juga boleh menunjukkan perbuatan haram ataupun halal. Pokok pangkalnya, baik atau buruk sikap diam itu dipengaruhi oleh hal-hal yang merangsang pada seseorang itu. Oleh sebab itu, diam ada beberapa peringkatnya, iaitu diam orang yang berilmu, diamnya orang yang sememangnya diam atau diamnya orang yang bodoh.

Loading...

Selanjutnya Imam al-Ghazali berkata: “Keimanan dan kekufuran seseorang tiada terang dan jelas, selain dengan kesaksian lidah. Lidah mempunyai ketaatan yang besar dan mempunyai dosa besar pula. Anggota tubuh yang paling derhaka kepada manusia ialah lidah. Sesungguhnya lidah alat perangkap syaitan yang paling jitu untuk menjerumuskan manusia.”

Oleh kerana lidah boleh membawa kebaikan dan keburukan dalam hidup manusia, maka perlulah kita sentiasa berwaspada menggunakan lidah sewaktu bertutur kata. Dengan kata lain, kita hendaklah bijak ketika berkomunikasi kerana sekiranya kata yang kita ucapkan boleh menyebabkan orang yang mendengarnya sakit hati atau terguris, ia boleh mendatangkan keburukan kepada kita.

Namun, tidak dinafikan terdapat juga kes-kes meluahkan perasaan yang membuak-buak, kategori hendak “meletup”. Maka “terkeluarlah kata-kata kotor dan jijik” untuk didengar. Selalunya senario yang sebegini berlaku apabila terbitnya perasaan ketidakpuasan di hati apabila berasakan diri ditindas dan diperlakukan tidak adil. Lantas, membatukan diri, hati menggumam kesakitan, akhirnya hanya kata-kata pedas yang mampu meredakannya.

Ya, benar, kadang kala keadaan seperti ini berlaku bukan kesalahan diri tetapi lebih diprovokasi oleh keadaan sekitar termasuk orang sekelilingnya. Umpama api yang sedang marak disimbahkan lagi dengan minyak.  Apapun alasan yang diberi, persoalannya adakah kita berhak untuk berkata-kata nista dan kasar?

Apa jua jawapan yang kita berikan, harus diingat, di sebalik kata-kata yang kita tuturkan itu, tersimpan satu tanggungjawab besar yang dipikul oleh kita yang mana ianya akan dipersoalkan Allah di akhirat kelak. Oleh kerana itu, kita harus berwaspada dalam setiap tutur kata, kerana ia boleh sahaja menjadi faktor yang mampu mengangkat darjat seseorang hamba di sisi Allah SWT, ia juga boleh menyebabkan kecelakaan besar kepada penuturnya.

Rasulullah SAW bersabda: “Seorang hamba yang berbicara mengenai sesuatu perbicaraan yang termasuk dalam keredaan Allah, sedang dia tidak sedarinya; namun dengan sebab satu kalimat itu Allah menaikkan martabatnya beberapa darjat. Adapun mereka yang berbicara mengenai suatu perkara yang termasuk dalam kemurkaan Allah, sedang dia tidak sedarinya; dengan sebab satu kalimat itu buruk itu dia dimasukkan ke dalam neraka Jahannam.” (HR Bukhari)

Islam ada menjelaskan bagaimana seharusnya memanfaatkan kedua-dua situasi itu iaitu bercakap dan diam, agar manusia benar-benar mampu memanfaatkan untuk berbicara sehari-hari sehingga ia menjadi jalan kebaikan bagi penuturnya. Dan kalau tidak mampu, maka lebih baik diam. Dan bagi yang mampu untuk diam pula, tetapi menolak untuk mengucapkan kebenaran, ia adalah suatu malapetaka.

Kata Imam Ahmad ibn Hanbal di dalam Bayna Mehnah al-Din wa Mehnah al-Dunya: “Kalau diam orang alim kerana taqiyah (tindakan berpura-pura atau hipokrit untuk melindungi diri), dan orang jahil terus jahil, maka bilakah kebenaran itu akan tertegak?”

Bagi orang yang beriman, lidah yang dikurniakan untuk menyampaikan tujuan-tujuan komunikasi sesama manusia tidak akan digunakan untuk berbicara sesuka hati dan sia-sia. Sebaliknya digunakan untuk mengeluarkan kata-kata yang berhikmah dan nasihat-nasihat yang membetulkan perjalanan hidup manusia. Manakala, peranan diam pula dijadikan benteng bagi lidah manusia daripada mengucapkan perkataan yang sia-sia atau yang tiada keperluannya.

Diam memiliki hikmah dan ciri kriteria tersendiri ketika mengamalkannya. Apa yang penting adalah kita mengetahui waktu-waktu yang tepat untuk diam dan ketika bila pula kita bersuara sebagai sikap ketika berinteraksi dengan orang lain. Diam boleh menjadi kebiasaan apabila ia diterapkan di dalam diri, dan mampu menjadikan kita lebih produktif.

Jadilah seperti padi yang semakin tunduk diam semakin berisi bukannya seperti tong kosong yang bising tetapi jarang sekali ada isinya. Begitulah perumpaan di antara orang yang berilmu dan sebaliknya. Justeru, sebelum kita berkata sesuatu hendaklah berfikir terlebih dulu. Gunakan lidah untuk berkata sesuatu yang baik dan tidak sia-sia. Itu lebih memberi manfaat daripada kita berkata perkara yang boleh mendatangkan dosa. Sesungguhnya orang beriman tidak bercakap perkara yang sia-sia dan tiada berfaedah.

Bersikap diam itu juga suatu kebijaksanaan dan keadilan, ilmu dan pengetahuan, bahkan merupakan akhlak baik yang mampu mendidik masyarakat awam daripada terjerumus ke dalam lembah permusuhan dan kekeliruan. Rasulullah SAW pernah menyatakan kepada Abu Zar RA:

Semoga Allah merahmati Khalifah Umar bin Abdul Aziz RA, ketika beliau berkata:“Sesungguhnya orang-orang yang terdahulu (Salaf al-Soleh) itu berhenti (tidak bersikap melampau) di atas dasar ilmu, mereka memiliki penelitian yang tajam (menembus) namun adakalanya mereka menahan dirinya (dari meneruskan sesuatu perbahasan) sekalipun mereka lebih mampu dalam membahas sesuatu perkara jika mereka ingin membahasnya.” – Bayan Fadhli Ilmi Salaf

Kebiasaannya, orang yang terlalu banyak berbicara adalah orang yang mempunyai keperibadian yang lemah, sedangkan di dalam al-Quran ada dinyatakan dengan jelas akan ciri-ciri orang yang berakal dan bijak iaitu orang yang mendengarkan perkataan orang lain dan melaksanakan apa yang terbaik daripada perkataan itu (az-Zumar:18):

Maka biasakanlah berdiam diri atau merenung untuk bermuhasabah, kita akan menjadi produktif dalam hidup. Diam bukanlah bererti kita sama sekali tidak berbicara, malah diam dalam erti hanya berbicara jika ada keperluan untuk itu. Diam juga bukan bermakna kita kalah tetapi diam itu menandakan kita matang untuk mengalah. Benarlah kata-kata orang bijak pandai bahawa, “Diam itu umpama mutiara, bicara tepat pada waktunya adalah emas permata”.

Loading...

semoga bermanfaat. sila like & share!

like juga page kami di facebook @tvdakwahmy 🙂

loading...